Khamis, November 08, 2007

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------
---------------------------------------------------------------------------------------
Negeri Kedah Darul Aman ﻧﻜﺮﻱ ﻘﺪﺡ ﺪﺍﺭﺍﻻﻤﻦ

Negeri Kedah merupakan sebuah negeri yang terletak nun jauh ke utara Semenanjung Malaysia. Sesuai dengan gelarannya, 'Jelapang Padi' dan 'Periuk Nasi Malaysia', negeri ini mempunyai peranan yang amat besar dalam penghasilan makanan ruji rakyat Malaysia. Sebagai negeri pertanian, hampir keseluruhan negeri Kedah subur dengan penanaman padi, tebu dan tanaman-tanaman komoditi seperti getah dan kelapa sawit. Disebalik semua ini, Kedah memiliki latar belakang dan sejarah masa silam yang panjang.


Untuk lanjutan kepada artikel ini, sila klik Sejarah Negeri Kedah

Peta Negeri Kedah Darul Aman


Dialek Melayu-Kedah


Kawasan Dialek-Melayu Kedah


Dialek Melayu-Kedah atau lebih dikenali sebagai loghat Utara dalam kalangan rakyat Malaysia dituturkan oleh orang-orang Melayu berketurunan Kedah yang menetap di wilayah Setul (Satun), Thailand, negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara. Kawasan-kawasan pertuturan dialek Melayu-Kedah ini dikenali sebagai Lembah Kedah. Walaupun wilayah dan negeri-negeri tersebut mempunyai pemerintahan sendiri dalam kerajaan Thailand dan Persekutuan Malaysia, dialek Melayu-Kedah telah berkurun lamanya menjadi bahasa pertuturan utama orang-orang Melayu di kawasan-kawasan tersebut.


Penyebaran dialek Melayu-Kedah di Perak Utara sebenarnya adalah diluar pentadbiran kerajaan negeri. Pada tahun 1813 dan 1818, Kedah yang ketika itu berada di bawah kekuasaan Siam telah menyerang negeri Perak. Hasil dari peperangan, askar-askar Kedah telah berjaya menawan kawasan Perak Utara, yakni hingga ke Kuala Kangsar. Walaupun begitu, kerajaan Kedah dan Perak tidak pernah bermusuhan. Askar-askar Kedah yang terlibat dalam peperangan tersebut terus menetap di Perak dan berkahwin dengan wanita-wanita tempatan. Maka dengan itu, wujudnya keturunan Melayu-Kedah di Perak.


Kuala Kangsar, bandar diraja Perak, merupakan kawasan peralihan dari dialek Melayu-Kedah ke dialek Melayu-Perak. Disebabkan itu, dialek yang diturkan di Kuala Kangsar adalah berbeza dengan dialek Melayu-Kedah dan dialek Melayu-Perak. Dialek Kuala Kangsar mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri (iaitu percampuran dialek Kedah dan Perak) dan merupakan dialek yang tidak dimiliki oleh mana-mana suku Melayu, baik Kedah mahupun Perak.


Bandaraya Alor Star, Kedah merupakan pusat penyebaran dan perkembangan dialek Melayu-Kedah yang utama di Lembah Kedah. Di samping itu, bandar Kangar, Perlis juga turut menjadi pusat penyebaran dan perkembangan dialek Melayu-Kedah di negeri Perlis, manakala bandaraya Tanjung (nama rasminya Georgetown), Pulau Pinang pula menjadi pusat penyebaran dialek ini di negeri Pulau Pinang walaupun majoriti populasinya adalah masyarakat Tionghua.


Bandaraya Alor Star, pusat penyebaran dialek Melayu-Kedah yang terpenting selain turut berfungsi sebagai pusat pentadbiran negeri Kedah


Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang merupakan pusat penyebaran dan perkembangan dialek Melayu-Kedah yang terpenting selepas Bandaraya Alor Star, Kedah


Suku Melayu Kedah


Orang Melayu Kedah dianggarkan berjumlah seramai kira-kira 2.5 juta orang (termasuk yang menetap di wilayah Satun). Jumlah ini adalah jumlah yang agak besar untuk sesuatu suku Melayu jika dibandingkan dengan suku-suku Melayu yang lainnya (tidak termasuk Indonesia). Jumlah penutur keseluruhan dialek Melayu-Kedah pula adalah hampir 3 juta orang (jumlah ini adalah berdasarkan jumlah penutur fasih). Kebanyakan masyarakat Cina, India dan sebagainya kurang fasih bertutur dalam dialek Melayu-Kedah dan mereka hanya mampu bertutur dalam bahasa Melayu piawai ataupun dialek Johor kerana terpengaruh dengan media seperti televisyen dan radio. Begitu juga dengan pengajaran bahasa Melayu piawai di sekolah.


Orang Melayu Kedah dikatakan bukan orang Melayu yang asli kerana mengalami pelbagai percampuran hasil dari perkahwinan campur. Semua ini berlaku ketika era kegemilangan perdagangan Kedah Tua (kurun ke-5 M hingga 13 M). Sementara menunggu perubahan angin monsun ketika berlabuh di Kedah, ramai pedagang-pedagang dari Arab, India dan China membuka petempatan mereka sendiri di Kedah. Lantaran itu, ada di antara mereka yang terus menetap dan berkahwin dengan penduduk tempatan. Maka berlakulah percampuran bahasa dan budaya yang dapat dilihat hingga ke hari ini terutamanya dalam bahasa yang dituturkan oleh orang-orang Melayu Kedah sendiri. Selain itu, kedudukan Kedah yang berjiran dengan Thailand menyebabkan ramai suku Melayu Kedah mempunyai darah kacukan Siam. Golongan ini dikenali sebagai Samsam yang banyak terdapat di bahagian utara negeri Kedah dan negeri Perlis.


Di Lembah Kedah, terdapat ramai orang Melayu yang berketurunan Syed (keturunan Nabi Muhammad s.a.w.), yakni mempunyai darah kacukan Arab. Raja Perlis sendiri berketurunan Syed di mana raja pertama yang memerintah negeri Perlis bernama Raja Syed Jamalullail. Mengikut perlembagaan negeri Perlis, orang-orang Melayu yang berketurunan Syed dianggap sebagai kerabat diraja Perlis dan boleh menaiki takhta jika raja tiada pengganti. Orang-orang Arab juga banyak bertaburan di seluruh negeri Kedah dan Pulau Pinang dan mudah ditemui berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.


Ciri-ciri Dialek Melayu-Kedah


Terdapat unsur-unsur Arab dan India dalam dialek Melayu-Kedah. Unsur Arab itu adalah seperti yang dituturkan oleh seluruh masyarakat Melayu Kedah di Lembah Kedah manakala unsur India pula hanya terdapat pada masyarakat Melayu Kedah di Pulau Pinang yang membezakan mereka dengan suku Kedah yang lainnya. Terdapat dua pengwujudan bahasa Arab dalam dialek Melayu-Kedah. Pengwujudan yang pertama adalah sebagai geseran anak tekak (frikatif uvular) dan bunyi ini terdapat pada sebelum dan antara vokal, misalnya ‘larat’=laqhat, ‘ramai’=qhamai. Penggunaan huruf ghain ( ) terdapat dalam pengwujudan pertama ini. Pengwujudan kedua pula adalah sebagai geseran faringgal (frikatif faringgal) yang sama dengan bunyi ain’ ( ) dalam bahasa Arab. Misalnya, ‘ajar’=ajaq, ‘lapar’=lapaq, ‘air’=ayaq.


Sebutan dialek Melayu-Kedah untuk huruf ‘a’ yang terdapat pada akhir kata tetap disebut ‘a’ bukannya ‘e’ seperti yang terdapat pada dialek Johor. Ciri ini juga dapat dilihat pada sebutan dialek Melayu-Brunei, Melayu-Sarawak, bahasa Kedayan (dialek Melayu di Sabah), dialek Melayu-Pattani dan dialek Urak Lawoi (dialek Orang Laut yang banyak terdapat di kepulauan Adang, Thailand, pulau Langkawi, Kedah dan kepulauan Riau-Lingga di Indonesia).


Dialek Melayu-Kedah juga mempunyai sebutan yang berbeza untuk huruf ‘l’ dan ‘s’ di akhir kata. Konsonan ‘l’ di akhir kata diwujudkan sebagai ‘y’ atau ‘i’ jika vokal sebelumnya itu ialah ‘a’ atau ‘u/o’, tetapi jika vokal berkenaan ialah ‘i’, huruf ‘l’ ditiadakan dan ‘i’ berubah menjadi ‘ey’. Contohnya, ‘tebal’=tebay, ‘betul’=betoi, ‘katil’=katey. Konsonan ‘s’ pada akhir kata pula diwujudkan sebagai ‘h’ atau ‘yh/ih’. Berlakunya ‘h’ ialah apabila konsonan tersebut didahului oleh vokal i atau e, sedangkan ‘yh’ apabila vokal berkenaan adalah ‘u’ atau ‘o’. Contohnya, ‘habis’=habeyh, ‘lipas’=lipayh, ‘pupus’=pupuih dan ‘hapus’=hapoyh.


Selain itu juga, masih terdapat sebutan dalam dialek Melayu-Kedah yang berdasarkan kepada sebutan jawi. Contohnya, boleh=buleyh dan masjid=mesjeyd (walaupun tidak sepenuhnya dalam sebutan jawi iaitu ‘bulih’ dan ‘mesjid’). Sebutan-sebutan jawi selalunya dipraktikkan oleh generasi tua (sama ada di bandar atau di desa) walaupun masih digunakan oleh generasi muda di luar bandar (kerana mereka tidak terdedah kepada bahasa Melayu baku/piawai secara meluas berbanding penduduk bandar).


Di Pulau Pinang, dialek Melayu-Kedah yang dituturkan adalah lebih kasar berbanding apa yang dituturkan oleh suku Melayu Kedah yang tinggal di Kedah, Perlis dan Perak Utara. Banyak perkataan bahasa Tamil yang diambil sebagai bahasa percakapan suku Melayu Kedah di Pulau Pinang. Antaranya, perkataan ‘nana’ yang bermaksud ‘abang’. Masyarakat India Muslim banyak terdapat di Pulau Pinang dan ini telah menyebabkan berlakunya perkahwinan campur antara orang Melayu dan orang India disebabkan persamaan agama. Golongan ini dikenali sebagai Jawi Peranakan samalah seperti kaum Cina Peranakan atau Baba dan Nyonya di negeri Melaka.



“KEDAH MAJU 2010”


‘Daulat Tuanku!’ sempena 50 tahun pemerintahan Tuanku Sultan Haji Abdul Halim Muadzam Shah (1958-2008). Semoga Allah lanjutkan usia baginda Sultan.

1 ulasan:

xan berkata...

ok jgak ulasan pasai oghang kedah ni .. nanti kita kena buat kamus kedah online.. mcm wikipedia ..